Saturday, February 21, 2015

KONFLIK TAHLIL – PERANAN DOA ANAK YANG SOLEH & FENOMENA TRANSFER PAHALA

Beberapa persoalan timbul apabila kami utarakan pandangan kami tentang polemik tahlil yang jadi viral semalam. Sangat menyedihkan apabila ada golongan yang nampak warak ala-ala ustaz tetapi komennya sudah macam keyboard warrior yang bertatoo dan lucah.
Kami terpaksa beri teguran kepada seorang dua yang nampak jelas tidak berakhlak, meroyan tak tentu hala. Tidak kiralah siapa pun dia dan setinggi mana pun ilmunya. Mungkin juga beliau sentap kerana dia terlibat dengan kerja menjual agama atau 'pindah pahala'. Nampak sangat beliau tak baca artikel apabila dengan jelas buat kesimpulan MELULU bahawa “Warga Prihatin menolak tahlil”. Beliau komen semasa SHARE artikel ini di wall sendiri sehingga boleh menimbulkan fitnah. Jenis manusia pencuri ilmu begini adalah perosak agama. Tidak akan berkat ilmunya bahkan terlaknat dan jatuh durhaka.
Padahal ada kami nyatakan dengan jelas dalam kesimpulan artikel itu bahawa ini bukan ibadah khusus. Jadi, jangan sewenang-wenang melabel itu dan ini. Kami sendiri masih melakukannya sebagai sarana tarbiah kepada anak-anak. Lagipun semua bacaan dalam tahlil adalah yang baik-baik belaka. Yang tidak baik ialah apabila ia dijadikan sebagai ritual wajib tanpa penjelasan dan tarbiah.
Kami jelaskan juga bahawa acara tahlil arwah malah boleh jadi haram jika disertai dengan pelbagai maksiat dan khurafat. Antaranya bila ada unsur memakan harta anak yatim, percampuran bebas lelaki perempuan, pemujaan atau buat air jampi untuk di curah di kubur atau ubat penawar. Sesetengah tempat malah ada bakar kemenyan sewaktu tahlil.
Penjelasan tambahan ini untuk menjawab soalan dari anak-anak soleh yang bertanya benarkan usaha mereka untuk arwah ibubapa akan jadi sia-sia?
GEJALA JUAL AGAMA DENGAN 'TRANSFER PAHALA'
Umum tahu bahawa dewasa ini ramai ustaz-ustaz yang ambil kesempatan dengan kejahilan umat. Ada yang dikatakan menyimpan stok 'pahala zikir’ yang sekian-sekian banyaknya untuk ditransfer kepada si mati. Semua itu akan dipindahkan macam akaun bank mengikut kadar bayaran yang beribu ringgit. Ajaran siapakah ini? Mengapa kita sanggup diperbodohkan sampai sejauh ini?
Selain dari itu, kita lihat begitu banyak produk berjampi dijual merata-rata. Air mineral, kismis, kurma, kayu koka, siwak dan entah apa-apa lagi semuanya di jampi dan dijual dengan harga yang lumayan. Pelbagai penyakit pelik-pelik ‘dicipta’ untuk membuka peluang business menjual agama. Beberapa kisah berikut ini mungkin boleh membuka minda kita…
KES 1: Seorang penagih dadah tegar yang sudah 16 tahun menagih pernah diserahkan kepada RPWP untuk dipulihkan. Keluarga bertanya berapa upahnya? Kami jawab upah apa? Kami tidak ada jampi mentera, kami juga tak guna ubat kimia, lalu apa yang nak kami caj? Cuma sebagai manusia jika ada hati perut hulurlah sedekah semampunya untuk belanja makan minum dan semua keperluan asas anak itu. Alhamdulillah penagih tegar itu berjaya juga dipulihkan.
Sebenarnya keluarga itu terkejut kerana mereka baru pulang dari sebuah pusat rawatan yang dikendalikan oleh seorang ustaz. Untuk rawatan cara Islam selama 2 minggu, beliau kena bayar RM9,000 tunai secara up-front. Bila ditanya boleh jamin baik ke penagih ini? Jawab ustaz itu, tidak..!
KES 2: Seorang anak autism yang diserahkan kepada kami telah dirawat oleh ustaz. Anak itu jelaskan apa yang ustaz itu buat. Dalam badan anak itu dikatakan ada 4 orang saka / jin lalu ustaz keluarkannya dan masuk dalam botol. Tapi sebentar anak itu kata saka tu masuk balik ikut dia. Mungkin ustaz tu tak tutup rapat botol yang mengurung jin tu agaknya.
Kami hanya gunakan furqon dari ayat-ayat Allah yang difahamkan ke minda anak ini untuk mengeluarkan saka yang di’tanam’ oleh ustaz itu tanpa sebarang jampi mentera. Kami cuma minta anak itu baca al-quran dengan makna dan kami jelaskan sedikit sebanyak. Kami apit anak itu sehari-hari, bawa dia ke sekolah alam dan menyertai perbincangan syuro harian secara dewasa. Dengan itu mindanya kembali ke alam nyata. Alhamdulillah tidak berapa hari ‘saka’ beliau tak wujud lagi.
KES 3: Pada satu petang pengetua kami yang dipanggil AYAH bertandang ke rumah jiran. Tanpa sengaja didapati isteri jiran itu sedang dirasuk mahluk halus kononnya. Sambil terbaring, dia menjerit meronta-ronta lalu dipegang kemas oleh 6 lelaki gagah termasuk suaminya. Habis terburai terselak semua kain dan bajunya. Aurat terdedah oleh pandangan mata dan sentuhan tangan.
Hampir 10 minit ayah memerhatikan drama itu dari muka pintu sementara mendapat peluang bertentang mata dengan si pesakit. Dapatlah dilihat gaya fasik dengan suara yang diubah-ubah. Sebaik sahaja dapat menatap anak mata pesakit itu, dia tiba-tiba jadi lemah dan terus sedarkan diri. Ayah kata dia tak baca apa-apa pun. Cuma dia seru dalam hati, ini semua penyakit mental, mengarut punya drama.
KES 4: Seorang pesakit mental mengadu diganggu jin dan bunian. Dia mengatakan telah berkahwin dengan 8 lelaki bunian. Turut diberitahu tempat di mana dia ‘bersenggama’ dengan bunian itu. Sudah banyak kali dapatkan rawatan dan jampi dari ustaz tapi tidak ‘menjadi’.
Akhirnya dikesan beliau ada masalah dengan suaminya selama bertahun-tahun. Keperluan ‘biologi’ kewanitaannya tidak dipenuhi. Akhirnya beliau ‘mencipta’ alam rumahtangga yang tersendiri untuk memuaskan nafsu secara ilusi. Puncanya kerana beliau telah terlalu jauh mengabaikan rumahtangga. Sudah bersuami tapi masih berkeliaran dengan pelbagai aktiviti di luar sehingga suaminya mencari wanita ‘ganti’ dan menjauhkan diri.
KES 5: Ada seorang janda berhias yang agak ‘gersang’ telah diperdaya oleh seorang bomoh Indonesia. Berbulan-bulan beliau izinkan bomoh itu ‘tidur serumah’ macam suami isteri. Perniagaan dan kereta beliau juga diserahkan kepada bomoh itu dengan alasan almarhum suaminya sudah izinkan melalui mimpi. Bomoh itu juga diizinkan membawa dan ‘menyimpan’ anak gadisnya (anak yatim) ke tempat lain selama 2 minggu. Kononnya untuk merawat penyakit ‘ganjil’. Ironinya semua itu diketahui oleh keluarga dan wali sijanda tanpa curiga atau usaha untuk mencegahnya.
Moral penceritaan ini merujuk kepada meluasnya gejala khurafat melibatkan kes menjual agama. Akhirnya ia merosak diri dan generasi. Semuanya melibatkan orang yang ‘nampak warak dan berilmu’ tetapi amat berkepentingan diri.
QS:69. Al Haaqqah 40-42. "Sesungguhnya perkataan (Al Quran) itu adalah benar-benar wahyu Rasul yang mulia, dan bukanlah perkataan seorang penyair. Sedikit sekali kamu beriman kepadanya. Dan bukan pula perkataan tukang tenung. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran daripadanya."
BEZA DOA DENGAN TRANSFER PAHALA
Ramai yang keliru dengan fenomena transfer pahala dengan doa terhadap si mati. Ada yang bertanya adakah doa dan sedekah jariah dari anak yang soleh juga tidak sampai kepada si mati? Ramai anak-anak yang sayangkan arwah ibubapa mereka jadi keliru dan agak sentap dengan persoalan ini.
Berpeganglah kepada alquran dan sunnah dengan kemas dalam isu ini. Sebelum itu kami ingin tegaskan perbezaan yang nyata antara doa dan transfer pahala. Ia kelihatan serupa tetapi jauh bezanya.
Persoalan adakah SAMPAI PAHALA contohnya dari bacaan al Quran yang kita sedekah kepada si mati? Para ulamak dari dahulu sampai sekarang masih berselisih tentang ini. Imam syafi’e dan sebahagian muridnya mengatakan TIDAK SAMPAI. Sebahagian yang lain pula berpendapat sedekah pahala tersebut SAMPAI kepada si mati. Ini akan kami huraikan di bawah nanti.
Menyentuh DOA kepada si mati, Allah sendiri menawarkan doa oleh hambanya. Dalam solat jenazah juga ada doa. Al-Fatihah dan seluruh ayat-ayat quran juga membawa unsur doa / seruan. Hadis juga menyatakan bahawa amal anak Adam akan terputus kecuali dengan doa anak yang soleh. Namun perlu difahami bagaimana mekanisma doa itu berlaku agar kita jadi lebih yakin. Kami berpegang dengan kemas hadis berikut ini,
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim & lain-lain)
1. SEDEKAH JARIAH
Ini meliputi segala bentuk sedekah yang dikeluarkan oleh si mati semasa hayatnya termasuk juga harta yang di waqafkan. Sebagai contoh seseorang itu mendirikan surau, masjid, rumah kebajikan, sekolah agama dan sebagainya. Selagi mana harta itu dimanfaatkan selagi itulah pahala mengalir untuk si mati. Ini berbeza dengan fenomena TRANSFER PAHALA kerana ianya bukanlah unjuran dari amal si mati sendiri sewaktu hayatnya.
Waris juga boleh bersedekah bagi pihak si mati. Tidak kiralah samaada sedekah itu milik waris, apatah lagi jika ia harta peninggalan si mati. Yang pentingnya niat kita untuk bersedekah bagi pihak si mati. Ini juga bukan tergolong TRANSFER PAHALA kerana ia dilakukan berdasarkan kerelaan waris / anak yang soleh atas dasar DIDIKAN ILMU yang dilakukan si mati sewaktu hayatnya.
2. ILMU YANG BERMANFAAT
Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang terkait dengan pembangunan agama Islam dan akhlak manusia, samada secara langsung atau tidak. Iaitu ilmu yang bakal menjadikan seorang itu menjadi lebih baik (ISLAH > SOLEH), samada melalui pendidikan, ceramah atau penulisan. Selagi ilmu yang disampaikan masih diamalkan maka si mati akan insyaAllah dapat ganjarannya.
3. DOA ANAK YANG SOLEH
Selain dari doa anak-anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya, doa antara sesama kaum muslimin juga insyaAllah bermanfaat untuk si mati. Ini berdasarkan kepada dalil berikut:
“Dan orang-orang yang datang kemudian berkata: “Wahai Tuhan kami, Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu”. (QS: Al-Hasyr,10)
Mengenai doa anak yang soleh, ada satu tafsiran yang unik namun kurang diketahui umum. Sebenarnya ia tidak hanya merujuk kepada anak kandung, malah juga membawa maksud ANAK DIDIK yang berjaya di’ISLAHKAN’ menjadi lebih baik (SOLEH) melalui aktiviti pendidikan atau dakwah oleh para murabbi/ah. Ini menunjukkan bahawa Allah itu adil kepada golongan yang tidak punya anak. Inilah juga yang kami tawarkan kepada golongan ini selama ini agar tidak terlalu sedih atau prejudis kepada Allah.
Hujjahnya, hadith di atas telah menggunakan perkataan 'WALADUN SOLEH' yang bermakna ANAK SOLEH secara umum. Ia tidak berbunyi 'BANIN SOLEH' yang membawa maksud ANAK KANDUNG. Ini menjadi motivasi untuk menggalakkan kita memelihara anak angkat dan anak yatim untuk dididik menjadi SOLEH.
Inilah kelebihan yang dinikmati oleh TGNA dan ramai para da’ie atau murobbi pendidikan agama. Selain dari kejayaan TGNA mendidik anak sendiri, lihatlah betapa ramainya kehadiran di hari pengkembumian. Antara mereka adalah bekas pelajar madrasah dan pengikut setia kuliah TGNA sepanjang hayatnya.
Inilah juga tarbiah yang memberikan motivasi SAHAM AKHIRAT kepada murobbi/ah RPWP untuk berkorban habis-habisan dalam MENDIDIK anak-anak jagaan kami. Mereka sanggup bekerja tanpa gaji dan tanpa cuti. Setengahnya tiada anak kandung sendiri pun di RPWP. Seorang dari kami tidak sempat berumahtangga lalu syahidnya tanpa meninggalkan zuriat. Kami yakin doa anak-anak soleh yang dididik dengan basmalah dan penuh kasih sayang ini akan dimakbulkan Allah. Apatah lagi doa anak-anak yatim dan teraniaya yang sempat diselamatkan. Amat banyak dalil dari alquran dan hadith tentang ini.
BERMANFAATKAH AMALAN TAMBAHAN ANAK SOLEH UNTUK SI MATI?
Ada banyak isu yang terkait dengan soalan ini. Sebenarnya hadith 'putusnya amal si mati' itu turut menampakkan bahawa ganjaran dari AMALAN TAMBAHAN yang dilakukan oleh anak-anak soleh hasil tarbiah si mati sewaktu hayatnya juga mampu dikongsikan oleh simati tanpa mengurangi pahala pelakunya. Ia amat berbeza dari konsep TRANSFER STOK PAHALA yang dijaja oleh peniaga agama kerana ia tiada kaitan langsung dengan usaha si mati sewaktu hayatnya.
Antara bentuk amalan khusus yang berkaitan dari anak yang soleh kepada si mati selain daripada doa ialah,
A. MEMBAYAR HUTANG PUASA, SOLAT, HAJI SI MATI.
Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa hendaklah walinya (membayar) untuknya". (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata: "Ya Rasulullah, ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa selama sebulan, bolehkah saya mengqadha’ puasanya itu?" Baginda menjawab: "Boleh, hutang kepada Allah lebih berhak diselesaikan". (Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Hadith ini mengatakan bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (samada puasa Ramadhan, nazar atau kifarah) boleh dibayar oleh kerabatnya. Dalam hal ini Imam Nawawi rahimahullah berkata: Imam al-Syafi'i rahimahullah memberi dua pendapat iaitu samada hutang puasa si mati dibayar dengan "FIDYAH" atau dengan cara BERPUASA bagi pihaknya.
Namun begitu, Mazhab Syafi’e lebih cenderung kepada kaedah FIDYAH. Ia juga boleh ditukar nilai dengan wang kerana manfaatnya lebih luas untuk mampu membentuk lebih ramai anak yang soleh. Demikian juga halnya dengan hutang solat dan haji.
B. MELANGSAIKAN HUTANG 'HARTA' SI MATI
Sebagai anak yang soleh, kita juga boleh membantu si mati dengan cara melangsaikan hutang harta yang ditinggalkan si mati atas dasar kekerabatan. Apatah lagi jika si mati ada meninggalkan harta dan pusaka yang banyak. Di sini pentingnya mempunyai anak yang SOLEH dan amanah.
C. AMALAN BAIK & USAHA DAKWAH ANAK YANG SOLEH
QS: 40. Al Mu'min 17. "Pada hari ini tiap-tiap jiwa diberi balasan dengan apa yang DIUSAHAKANNYA. Tidak ada yang dirugikan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hisabnya."
QS: 53. An Najm 38-41.”Bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain, Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah DIUSAHAKANNYA, Dan bahwasanya usaha itu kelak akan diperlihatkan. Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna."
Ayat-ayat di atas mengatakan bahawa kita HANYA DAPAT GANJARAN DARI HASIL USAHA SENDIRI. Amalan baik termasuk sedekah yang dilakukan oleh zuriat atau anak didik yang SOLEH adalah juga memperlihatkan HASIL USAHA si mati semasa hidupnya. Apatahlagi jika ia bermodalkan ilmu dan harta peninggalan si mati. Persoalan ini turut terjawab dengan hadis sahih di bawah:
"Sesungguhnya makanan yang paling baik untuk di makan oleh seseorang ialah hasil TITIK PELUH sendiri. Dan sesungguhnya ANAK adalah sebahagian daripada hasil usaha kita". (HR - al-Hakim, At-Turmudzi, Ahmad, Abu Daud An-Nasai).
Dari Aisyah r.a, berkata: “Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w dan berkata: Wahai Rasulullah, Ibuku meninggal dunia secara mengejut dan tidak sempat berwasiat, Tetapi aku menduga, seandainya dia mampu berkata-kata, tentu dia menyuruh untuk bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala jika aku bersedekah untuknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Ya Benar” (HR:Muslim)
KESIMPULAN
Jika si mati mewariskan anak-anak yang soleh / solehah, maka dia akan mendapat pahala hasil dari kebaikan anak-anaknya yang diniatkan untuknya tanpa mengurangi pahala anak itu. Tidak kiralah samada mereka itu anak kandung ataupun anak didik. Klausa pahala yang diperolehi oleh si mati ialah dari USAHA mereka mematuhi perintah Allah dalam MENDIDIK anak-anak SOLEH itu dengan ILMU yang bermanfaat. Lebih-lebih lagi jika anak soleh yang dididik itu MENSEDEKAH / MEWAKAFKAN harta yang ditinggalkan si mati padanya.
Sebaliknya jika kewajiban mendidik anak-anak sendiri dengan ilmu yang bermanfaat itu tidak dilakukan semasa hayat si mati lalu anak-anak itu terus menerus melakukan dosa, maka dosa si mati ialah kerana TIDAK MENDIDIK anaknya itu (QS:4/9). Di atas dunia ini juga akan di sebut-sebut kejahatan si anak atas nama ibubapanya. Kecualilah jika dia telah melakukan tanggungjawab sebaiknya, namun anak-anak itu yang DEGIL ataupun si anak telah terdidik dengan baik namun sepeninggalan si mati ia TERPESONG. Dalam hal ini maka si mati tidak terbeban lagi. Contohnya adalah pengalaman Nabi Noh a.s. sendiri.
TAHLIL ARWAH ini hanya isu furu’ saja. Janganlah sampai jadi sengketa. Kami kongsikan semua cetusan ilmu yang telah kami kaji dan laksanakan ini secara percuma untuk sama-sama kita nilai dan dikembangkan. Ia hanya bagi menjawab pihak-pihak yang bertanya. Jika yakin perkongsian ini benar, bolehlah sama-sama amalkan demi kebaikan generasi akhir zaman ini.
Tidak sesiapa dipaksa untuk menerima kerana kami bukan mufti yang berhak mengeluarkan fatwa. Namun jika tidak bersetuju sila jaga adab anda dalam melontar maklumbalas. Sebaiknya gunakan inbox. Jangan melabel, mencaci pihak lain dan berkokok tidak tentu hala macam ayam jantan di ruangan komen. Itu hanya akan menampakkan SIAPA DIRI anda yang sebenar.
Sedih juga melihat ustaz-ustaz berserban yang nampak macam berilmu, namun mengeluarkan kenyataan brutal, bongkak dan tidak beradab. Malu bila seorang yang berserban membawa imej Islam berlagak sombong dengan mengeluarkan kenyataan… “inilah penulisan orang jahil”. Seolah-olah ilmunya sahaja yang paling tinggi dan pasti. Mereka kenalkah siapa kami? Berapa ramai ilmuan di kalangan kami? Sedalam mana rujukan dan kajian kami? Sejauhmana pula tahap perlaksanaan dari setiap ilmu yang telah kami kongsikan?
Lebih memualkan lagi apabila golongan ini beralih mendebat hangit perkongsian dari komen pembaca lain yang lebih bernas dan berhemah. Walhal, ribuan yang lain dilihat bersyukur mendapat pencerahan dan input tambahan dari artikel itu. Ironinya, ada ustaz yang mencarut dan menghina ini dikesan hanya melihat gambar atau membaca tajuk dan tebuk-tebuk sahaja. Maka, komen yang bongkak itu juga jelas dibuat tanpa ilmu kerana artikel penuh pun tidak dibaca.
Kesimpulannya, sama sahaja akhlak buruk ilmuan agama yang berserban dengan keyboard warior yang bertatoo dan lucah tapi ikut berkokok untuk komen soal agama. Sesama ustaz juga saling menghujat dan ejek mengejek. Mereka ini perlu belajar adab bertalaqi dahulu walaupun sekadar mengutip ilmu di alam maya.
Golongan seperti ini memang akan kami ban. Mereka tidak diperlukan dan tidak layak berada dalam muzakarah ilmu atas sifat-sifat togho yang melampaui batas. Biarlah sedikit jumlah pembaca page ini asalkan berkat ilmunya dan tenang suasana muzakarahnya.
Kami kongsikan hasil kajian yang telah kami laksanakan selama ini dengan percuma dan LILLAHBILLAH demi dakwah Islamiyah. Kami tidak rugi ban mereka kerana bukannya kami berniaga atau memaksa sesiapa untuk menerima.
WARGA PRIHATIN

No comments: