Wednesday, July 31, 2013

Syiah 5

Catatan syiah yang ku kenali siri 5

Tanggapan buruk dan tuduhan melampau penganut syiah terhadap para sahabat r.a adalah perkara yang sudah dalam makluman sejak sekian lama. Lantaran itu saya sentiasa mengambil sikap berhati-hati untuk membincangkan topik ini bersama mereka. 

Ibarat anak dagang di rantau orang, kena pandai membawa diri. Apatah lagi di Kuliyah Perubatan dan Pergigian University of Baghdad ketika itu, bukan setakat saya anak Malaysia tunggal malah saya satu-satunya pelajar bukan Arab yang wujud. 

Mungkin sahabat-sahabat berpendapat, kebenaran wajib dizahirkan walau di mana kita berada. Ya…! Saya akui hakikat dan tuntutan itu tetapi kita perlu berpijak di bumi nyata. Siapalah kita yang bersendirian di rantau orang untuk mengubah suatu anutan dan pegangan yang telah diwarisi dari datuk nenek moyang mereka lagi. Lantaran itu saya lebih bertindak sebagai pencari fakta dan maklumat untuk dibawa balik ke tanah air dan di sinilah medan kita untuk menyatakan kebenaran.

Walaupun dalam keadaan beringat, akhirnya hari panas dan tegang berlaku juga tanpa diundang. Seorang teman (tentunya syiah) yang tinggal di pinggir Baghdad berkali-kali memaklumkan keluarganya sangat ingin untuk bertemu dan berkenalan dengan saya. Undangan mereka saya tunaikan sebaik sahaja selesai menghadapi peperiksaan akhir di tahun keempat pengajian. Sekitar bulan Julai 1997, ketika cuaca panas membahang dengan suhu melebihi 45°C, di satu penempatan syiah di panggil Hayyu Adil.

Sebagaimana lazimnya, air sejuk di dalam teko akan diangkat sebagai memuliakan tetamu sebelum kita dijemput menikmati hidangan tengah hari. Bersama beberapa orang abang teman saya, kami berbual-bual sebelum hidangan tengah hari disiapkan. Bertamu ke rumah orang Arab, jangan mimpi kita nak tengok ahli keluarga wanita mereka, ini adat yang mereka pegang samada sunni atau syiah.

Tanpa diduga, keluar satu soalan dari mulut seorang abangnya… “Azman… kamu di Malaysia orang Islam yang baik. Apa pandangan kamu tentang sahabat-sahabat Rasulullah?” 

“Sahabat Rasulullah ramai, yang mana satu saudara maksudkan?” soal saya balik sebenarnya dengan tujuan ingin mengelak. “Muawiyyah!” jawabnya tegas. 

“Ya Allah! Cari penyakit sungguh aku hari ini...”

“Kalau jawapan saya tak sependapat dengan saudara semua, bolehkah kita sama-sama berlapang dada menerimanya?” Soal saya lagi. “Tak apa… kami nak dengar saja apa pandangan Muslim di Malaysia.” Saya lega…

Lalu saya memulakan bicara… Bagi saya para sahabat Rasulullah s.a.w adalah generasi terbaik selepas Rasulullah. Merekalah generasi yang telah mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa demi dakwah Islam yang diperjuangkan Baginda Rasul. Setiap mereka ada fungsi dan kehebatan masing. Ali adalah gedung ilmu, Uthman adalah gedung kekayaan ummat, Umar dengan keberaniannya dan Abu Bakar dengan kebenarannya. Semoga Allah meredhai mereka semua. 

Rasulullah juga berpesan; “Ikutlah sunnahku dan sunnah para sahabatku.” Nabi yang mulia juga turut berpesan; “Jangan kamu caci-maki para sahabatku.” Kemulian mereka dengan kita terlalu jauh sehingga Nabi pernah bersabda mafhumnya; Kalau kita sedekahkan emas sebesar Bukit Uhud sementara sahabat nabi hanya bersedekah secupak emas, sedekah kita tidak akan dapat menandingi para sahabat. 

Memang saya akui terdapat peristiwa-peristiwa yang menyedihkan berlaku selepas kewafatan Rasulullah yang melibatkan para sahabat Nabi seperti Peperangan Siffin dan Perang Jamal, yang kita telah pelajari kisahnya, tetapi kita bukanlah hakim untuk menentukan siapa benar dan siapa salah. Tidak pernah saya ketemu seorang ahli sejarah Islam yang muktabar apabila membicarakan hal kedua-dua peperangan ini membuat kesimpulan dengan menentukan siapa benar dan siapa salah.

Panjang lebar saya bersyarah… Kemudian di sambung; “berhubung dengan Muawiyyah, pendirian kami, beliau juga adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang berjasa besar kepada Islam dan perjuangan Islam. Jasa Syaidina Ali k.w tentunya lebih besar.” 

Bila saya menyebut “Muawiyyah adalah salah seorang sahabat Rasulullah…” sangat ketara air muka mereka berubah dengan mendadak, nafas menjadi turun naik menahan kemarahan.

Walaupun begitu, saya cuba menyambung lagi… “Khalifah Umar Abdul Aziz pernah ditanya pandangannya tentang Muawiyyah, lalu Umar Abdul Aziz menyatakan… debu-debu yang melekat di hidung kuda Muawiyyah yang berjihad di jalan Allah lebih mulia dari batang tubuh manusia yang bernama Umar Abdul Aziz...”

Saya tak sempat menjelaskan lebih lanjut, dengan nada tinggi mereka membantah…

“Azman! Kamu memuji Abu Bakar, sedangkan Abu Bakar adalah perampas!” 

“Yaa… akhie… Apa yang Abu Bakar telah rampas?” 

“Dia telah merampas hak Imam Ali untuk menjadi khalifah!” 

“Silap tu wahai saudaraku… tahukah kamu bagaimana kaedah pemilihan khalifah selepas kewafatan Rasulullah? Abu Bakar dipilih secara syura di kalangan kaum muslimin dan di bai’ah oleh mereka semua termasuk Imam Ali k.w.” 

“Mana adil Abu Bakar menjadi khalifah sedangkan Imam Ali lebih baik dan lebih layak?” 

“Apa ukuran yang kamu guna wahai saudaraku untuk mendakwa bahawa Imam Ali lebih layak?” 

“Imam Ali telah Islam semenjak kanak-kanak lagi, dia tidak pernah sujud kepada berhala. Abu Bakar Islam ketika telah dewasa dan dia pernah sujud kepada berhala.” 

“Astaghfirullah… mengucap saudaraku. Silap besar kamu berfikiran begitu. Aturan Allah menentukan perutusan Nabi berlaku ketika Ali masih kanak-kanak sementara Abu Bakar telah dewasa. Sebagaimana Ali adalah generasi yang paling awal beriman, begitulah juga Abu Bakar. Tuduhan kamu bahawa Abu Bakar adalah penyembah berhala merupakan tuduhan keji dan batil terhadap sahabat Nabi yang agung. Abu Bakar seorang ‘hanifah’. Dia tidak menganut agama penyembahan berhala walaupun ketika zaman jahiliah.” 

“Azman! Imam Ali seorang yang sangat berani, dia yang tidur di atas tempat tidur Nabi ketika hijrah dalam keadaan rumah Nabi dikepung kaum musyrikin!” 

“Yaa… tepat sekali. Syaidina Ali adalah seorang yang sangat berani. Dialah yang memegang panji-panji tentera Islam ketika pembukaan Khaibar. Tetapi kamu jangan nafikan bahawa Abu Bakar yang menemani Nabi dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Saudaraku… Siapa yang mereka-reka tuduhan yang begini buruk terhadap Abu Bakar?” 

“Ianya diajar oleh Imam-Imam kami ahlul bait!” 

“Saya tak percaya! Imam mana yang ajar begitu? Contohnya Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang Imam 12. Betul dia cucu Imam Ali k.w dari sebelah bapanya, tapi dia juga adalah cicit Abu Bakar dari sebelah ibunya. Mustahil dia akan menuduh begitu terhadap moyangnya sendiri!”

Buntu bab Abu Bakar, mereka beralih kepada Umar…

“Umar juga perampas! Dia seorang penyembah berhala yang kufur di zaman jahiliah. Pernah membunuh anaknya sendiri. Manusia sebegini kamu akui sebagai Khalifah Rasulullah?” 

“Saudaraku! Islamnya seseorang akan memadamkan segala kisah silamnya. Apa hak kamu semua untuk mengungkit semua ini? Lebih-lebih lagi Umar seorang ‘Ahli Badar’ yang dijamin syurga oleh Rasulullah. Dia juga dilantik sebagai khalifah dengan bai’ah kaum Muslimin termasuk dibai’ah oleh Imam Ali k.w. Sebagaimana Imam Ali syahid ditikam, Umar juga seorang syuhada’. Siapa kita nak mengeji dan menghukum Umar sebagai kufur. Dia adalah khalifah yang sangat adil, memikul gandum untuk fakir miskin dengan bahunya sendiri. Wafat tanpa meninggalkan apa-apa harta.”

Mereka beralih pula kepada Muawiyyah bin Abi Sufian r.a…

“Celaka atas kamu dan laknat Allah ke atas Muawiyyah yang kamu iktiraf sebagai sahabat Rasulullah! Bagaimana manusia yang kamu iktiraf sebagai sahabat nabi yang berjasa besar kepada Islam boleh memerangi seorang ‘Waliyullah’? Ini manusia pembunuh! Kufur! Laknat! Anaknya juga seorang pembunuh! Semoga Allah mencampakkan dia ke dalam neraka jahannam!”

Saya melihat kepanasan telah mendidih, kata-kata yang keluar adalah dari luapan emosi marah yang melampau. Lebih baik saya mengundur diri…

“Saudaraku… saya telah mengingatkan diawal tadi. Pendirian saya akan bertentangan dengan saudara semua, tapi saudara nak dengar juga. Saya di sini sebagai tetamu. Aib bagi saya untuk berbalah dengan tuan rumah. Izinkan saya berundur. Ma’assalaamah…”

Monday, July 29, 2013

Syiah 1

Sambungan catatan bersama syiah di Iraq…

Biasa kawan-kawan syiah berkunjung ke rumah, mereka tak akan solat bersama kerana cara solat mereka berbeza. Paling penting kena ada batu berbentuk bulat bersaiz lebih kurang sebesar biskut marrie tebal dalam 1 cm yang kata mereka dibuat dari tanah suci Karbala’. Mereka sujud dengan dahi diletakkan di atas batu tersebut. 
Semakin tinggi martabat semakin tinggi lapisan batu. Biasanya di sejadah imam terdapat 2 atau 3 lapis batu. Makmun selapis saja. Sebab itu jangan tersalah masuk masjid.

Bila kawan-kawan mintak batu untuk solat, rumah saya mana ada batu. Saya guna sejadah saja. Kata mereka, “Ooo… sejadah boleh guna untuk solat tetapi kita tak boleh sujud ke atasnya sebab sejadah bukannya benda tabi’ie, ia telah diproses dan dikilangkan. Kita mesti sujud di atas benda tabi’ie”. Alternatifnya? Cari daun kayu. Nasib baik depan rumah ada pokok-pokok bunga. Daun dijadikan ganti batu. Mereka sujud di atas daun.

Sambil bergurau saya pernah menyatakan kepada mereka, kalau benda tabi’ie menjadi syarat, bagi saya batu dari tanah Karbala’ tersebut bukan lagi tabi’ie. Ianya telah diproses, dibentuk menjadi bulat, diukir gambar masjid. Kalau nak batu yang betul-betul tabi’ie jawabnya kena ambik batu kelikir tepi jalan! Boleh melelas dahi kamu. Bergurau dalam bab ni mereka tak akan marah. Tapi awas! Bab sahabat terutamanya mengiktiraf Muawiyyah bin Abu Sufian r.a sebagai sahabat nabi akan mengundang kemarahan besar mereka. Bab ni saya akan ceritakan kemudian…

Nak tunggu mereka selesai solat, punyalah lama. Bila ditanya kenapa kamu semayang lama sangat. Mereka jawab, semayang jamak memanglah lama. Saya tanya, jamak apa? Mereka jawab, “jamak semua waktu semayang hari ni, buat sekali sahaja”. MasayaAllaaaahh…!! Macam mana boleh jadi lagu tu. Yang pertama, kita bukannya dalam musafir. Yang kedua, mana boleh jamak sampai lima waktu sekaligus! Lebih tragis, saya pernah jumpa kawan-kawan syiah yang jamak semayang setiap 3 hari sekali, ada lagi yang lebih hebat, jamak semayang setiap seminggu sekali!

Agama ini sudah tersangat mudah, orang-orang yang jahil akan mencari jalan untuk memudahkan lagi. Biasanya yang mudah walaupun sesat akan menarik perhatian orang untuk menjadi pengikutnya. Boleh semayang sekali sehari, 3 hari sekali atau seminggu sekali, tentu mudah kan?

Puasa mereka tidak sebagaimana kita. Waktu puasa kita dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Waktu puasa penganut syiah dari terbit matahari hingga hilang mega merah di kaki langit, masuk waktu isyak.

Sebab itu jangan pelik bila kita keluar dari masjid selepas solat subuh, kita akan dapati masih ada orang yang makan di gerai-gerai tepi jalan. Jangan tersalah tegur kata meraka tak puasa sebab mungkin mereka itu syiah. Waktu puasa mereka belum start lagi sebab matahari belum terbit! Selepas terbit matahari barulah mereka berenti makan. Sebenarnya ramai juga Arab yang tak puasa terus walaupun mereka bukan syiah bukan dan bukan juga mazhab sunni tetapi menganut ‘mazhab jahil’.

Biasa saya diundang berbuka puasa di rumah kawan-kawan syiah. Kita tetap pergi. Masuk waktu maghrib, kita akan dipersilakan makan sambil meminta maaf, mereka memaklumkan bahawa waktu berbuka mereka belum sampai lagi. Mereka hanya boleh makan bila hilangnya mega merah di kaki langit, hampir masuk waktu isyak! Sambil bergurau, saya kata… “kalau begitu memang adil sebab kamu start puasa lewat, mana boleh berbuka awal!” Mereka hanya tersenyum… bab ni tak sensitif dan tak akan mengundang kemarahan. Ada bab lain…

Syiah 2

Geger bab syiah seminggu dua ni. Kawan-kawan sekelas saya di Univ Baghdad dulu dalam 25 orang semuanya. Ada kurdi, Arab Iraq, Arab Palestin, Arab Yaman dan Arab Jordan. 5 orang saja sunni termasuk ambo! Bakinya syiah.. Kami belajar bersama, mengulangkaji bersama, buat presentation bersama, latihan praktikal di hospital pun sama-sama. Bukannya sehari dua, tapi 6 tahun. Belum lagi dikira penganut syiah yang hidup bersama dalam masyarakat.

Alhamdulillah... saya tetap teguh dgn aqidah ahli sunnah wal jamaah walaupun tak berjaya 'mengsunnikan' kawan-kawan syiah. Terpesongnya amalan dan aqidah orang syiah bukan setakat saya baca di buku dan kitab, tetapi mampu dilihat dengan mata kepala sendiri. Musim peperiksaaan kawan-kawan syiah datang bermalam dirumah sampai 2,3 hari untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran.

Lagu mana mereka solat, berapa kali mereka semayang dalam sehari, lagu mana puasa mereka, apa pandangan mereka tentang sahabat-sahabat nabi, peristiwa pembunuhan Syaidina Hussin di Karbala', kitah 'Nahjul Balaghah' yang menjadi rujukan mereka, taasub mereka dengan imam-imam mereka, kelayakkan imam-imam mereka mengeluarkan ijtihad dan fatwa baru semuanya saya kaji dan lalui secara realiti.

Penganut-penganut syiah di Malaysia, berapa hari kamu semua hidup bersama orang syiah? Kalau syiah itu betul, benar, tidak sesat dan menyesatkan... saya akan jadi syiah lebih dulu sebelum kamu!

Islam ini agama mudah. Samada ibadat atau muamalat. kenapa nak dipermudahkan lagi dengan solat yang boleh dijamak seminggu sekali? Apa faedah yang kamu boleh dengan mengutuk dan mencaci sahabat-sahabat Nabi? Mana boleh bulan puasa pun hisap rokok atas alasan fatwa imam? Siapa yang ajar kamu al Quran ada 115 surah? Tambah satu lagi surah 'al Wilaayah' kononya surah yang menceritakan kelebihan Syaidina Ali. Kalau Syaidina Ali hidup semula, puak kamulah Syaidina Ali akan kerat kepala dulu! Siapa yang ajar kamu semua, Malaikat Jibril tersalah bagi wahyu kepada Muhammad, sedangkan sebenarnya nak bagi kepada Ali? Kamu ingat Jibril tu macam Tok Ki kamu?

Banyak lagi kalau saya nak senaraikan. Kembalilah kepada aqidah yang benar...

Syiah 3

Sambungan catatan syiah yang ku kenali siri 3

Selalu kawan-kawan syiah berhujah, “kami lebih benar sebab Islam kami ambik terus daripada guru, kamu ambik daripada murid.” Siapakah guru dan siapa pula murid? Soal saya. “Guru adalah ahlul bait, kami ambik Islam terus dari ahlul bait. Imam-imam mazhab sunni adalah murid kepada ahlul bait, mana yang lebih alim dan benar antara guru dan murid?” Soalnya penuh keyakinan.

Maksud murid dan guru ialah, Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang dari Imam 12 yang diakui syiah sebagai imam mereka.

Tetapi siapa yang meneliti secara jujur riwayat hidup Imam Ja’far as Sadiq atau nama sebenarnya Ja’far bin Muhammad bin Ali (k.w), ibunya ialah Fatimah binti al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as Sidiq (r.a) jelas bahawa beliau bukannya syiah sebagaimana yang didakwa. Imam Ja’far adalah cucu kepada Syaidina Ali k.w dan cicit kepada Abu Bakar as Sidiq r.a.

Mereka lebih benar sebab kononnya ajaran mereka adalah berpandukan guru (Ja’far as Sadiq) sementara orang sunni adalah murid (Abu Hanifah).

Sebab itulah beberapa hari sebelum menjelang 10 Muharram setiap tahun, penganut syiah akan berarak dengan berjalan kaki dari satu kawasan penempatan syiah bernama Saddam City, sebuah penempatan masyarakat bawahan yang sangat ketinggalan terletak di pinggir Baghdad menuju ke Karbala’ dengan jarak hampir 200 km. Kenapa berjalan kaki? Sebab kata mereka Syaidina Hussin dulu juga berjalan kaki dari Madinah ke Kufah sampai beliau terbunuh di Karbala’.

Mereka akan melintasi jalan hadapan Masjid Imam Abu Hanifah di mana di dalamnya terdapat makam Abu Hanifah di Bandar Adhamiya berdekatan rumah sewa saya. Bila sampai di hadapan masjid Abu Hanifah mereka akan berhimpun seumpama demonstrasi sambil melaungkan “Celaka atas kamu!! Kamulah murid yang derhaka kepada guru!!”

Jawapan saya kepada dakwaan di atas mudah sahaja. “Apakah kamu sempat berjumpa dengan ahlul bait?” Tentu jawapan yang saya dapat adalah.. “tidak pernah!” “Habis tu macam mana kamu dakwa bahawa kamu ambik ilmu dan agama ini terus dari ahlul bait?”

Melihat kawan saya terlopong kelu, saya menjelaskan, “Sahabatku.. ilmu dan agama ini diwarisi dari Rasulullah s.aw kepada para sahabat. Sahabat pula ada di kalangan ahlul bait dan bukan kalangan ahlul bait termasuk ada yang bukan Arab. Kami orang-orang sunni kasih kepada mereka semua termasuk Syaidina Ali dan Syaidina Hussin serta Syaidatina Fatimah az Zahra’.

Silap besar kalau kamu anggap kami memusuhi dan membenci mereka. Kemudian para sahabat mewariskan ilmu kepada tabi’in seterusnya tabi’ tabi’in seterusnya salafus soleh dan seterusnya… seterusnya…. Sehinggalah sampai kepada kita. Bermakna kita sama-sama tidak mendapat ilmu secara direct terus dari Rasulullah atau ahlul bait.” “Jadi kalau kamu mendakwa lebih benar sebab kamu mendapat ilmu terus dari guru dan bukannya murid, maka jelas dakwaan kamu palsu!”

Syiah 4

Catatan syiah yang kukenali siri 4.

Membina masjid-masjid yang indah bagi penganut syiah dengan kubah-kubah dan dindingnya disalut emas tulen adalah antara kelicikan strategi politik Saddam Hussein untuk mengambil hati penganut syiah yang sebenarnya kalau dinisbahkan rakyat Iraq yang berbangsa Arab, syiah adalah majoriti. Tetapi kalau dihitung keseluruhan rakyat Iraq yang meliputi bangsa Kurdi dan Turkman, nisbah syiah dan sunni di Iraq adalah seimbang. Penganut syiah mendominasi wilayah-wilayah di selatan Iraq seperti Najaf, Kufah, Karbala’, Nasiriyyah dan Basrah. Di Baghdad sendiri sunni masih merupakan majoriti.

Walaupun begitu tampuk pemerintahan Iraq dari Presiden, Perdana Menteri serta para menteri adalah sunni termasuk seorang kristian, bernama Tariq Aziz.

Masjid-masjid syiah biasanya terdapat makam-makam yang bukan setakat mereka ziarahi tetapi mereka turut bertawaf sekelilingnya. Ada yang bertawaf sambil menangis dan meratap. Antara yang terkenal adalah Masjid di Kufah, Najaf, Kadhimiya dan Karbala’. Berbanding masjid-masjid tersebut, Karbala’ adalah yang paling ramai dikunjungi terutamanya menjelang 10 Muharram. Di dalamnya terdapat makam Syaidina Hussin bin Ali, cucu Rasulullah s.a.w yang terbunuh dalam tragedi Karbala’.

Makam Syaidina Ali k.w terdapat di Kufah, ini disokong oleh pendapat Imam Ibnu Kathir dalam al Bidayah wan Nihayah. Walaupun begitu penganut syiah tidak sependapat dalam hal ini kerana ada qaul di kalangan Kaum Rafidhah, Syaidina Ali dimakamkan di Najaf sementara ada lagi qaul di kalangan mereka, selepas kewafatan khalifah Islam yang keempat ini, jenazahnya dibawa dari satu tempat ke satu tempat hingga akhirnya ghaib tidak diketahui. Wallahu’alam. Saya tidak melakukan penyelidikan mendalam dalam hal ini.

Rasa ingin tahu mendorong saya ke sana ke Karbala’ ketika detik 10 Muharram untuk menyaksikan sendiri apa yang dibaca dan didengar. Memang benar terdapat lautan manusia yang datang dari segenap penjuru. Terutama bila sempadan Iran-Iraq dibuka, penganut syiah dari Iran pun turut sama berpusu-pusu datang. Saya memerhatikan hampir keseluruhan mereka datang sambil menangis dan merintih… “Yaa Hussin…. Ya Hussin… Ya Hussin… Apa dosa kamu diperlakukan begini, wahai cucu Rasulullah…”

Amalan menangis dan meratap ini amat ketara ketika mereka mengelilingi makam Syaidina Hussin (maaf sahabat-sahabat syiah kalau saya istilahkan ‘tawaf’).
Mungkin sebagai tanda kekesalan atas tragedi Karbala' yang telah berlaku, sambil mereka memukul-mukul badan mereka dengan kain dan tangan.

Amalan memukul dan menyakiti tubuh sendiri dengan senjata tajam dan alat-alat lain seperti rantai besi telah diharamkan dizaman pemerintahan Saddam. Alhamdulillah… tak terdapat lagi mereka yang luka berlumuran darah kerana amalan ini.