Catatan syiah yang kukenali siri 4.
Membina masjid-masjid yang indah bagi penganut syiah dengan kubah-kubah dan dindingnya disalut emas tulen adalah antara kelicikan strategi politik Saddam Hussein untuk mengambil hati penganut syiah yang sebenarnya kalau dinisbahkan rakyat Iraq yang berbangsa Arab, syiah adalah majoriti. Tetapi kalau dihitung keseluruhan rakyat Iraq yang meliputi bangsa Kurdi dan Turkman, nisbah syiah dan sunni di Iraq adalah seimbang. Penganut syiah mendominasi wilayah-wilayah di selatan Iraq seperti Najaf, Kufah, Karbala’, Nasiriyyah dan Basrah. Di Baghdad sendiri sunni masih merupakan majoriti.
Walaupun begitu tampuk pemerintahan Iraq dari Presiden, Perdana Menteri serta para menteri adalah sunni termasuk seorang kristian, bernama Tariq Aziz.
Masjid-masjid syiah biasanya terdapat makam-makam yang bukan setakat mereka ziarahi tetapi mereka turut bertawaf sekelilingnya. Ada yang bertawaf sambil menangis dan meratap. Antara yang terkenal adalah Masjid di Kufah, Najaf, Kadhimiya dan Karbala’. Berbanding masjid-masjid tersebut, Karbala’ adalah yang paling ramai dikunjungi terutamanya menjelang 10 Muharram. Di dalamnya terdapat makam Syaidina Hussin bin Ali, cucu Rasulullah s.a.w yang terbunuh dalam tragedi Karbala’.
Makam Syaidina Ali k.w terdapat di Kufah, ini disokong oleh pendapat Imam Ibnu Kathir dalam al Bidayah wan Nihayah. Walaupun begitu penganut syiah tidak sependapat dalam hal ini kerana ada qaul di kalangan Kaum Rafidhah, Syaidina Ali dimakamkan di Najaf sementara ada lagi qaul di kalangan mereka, selepas kewafatan khalifah Islam yang keempat ini, jenazahnya dibawa dari satu tempat ke satu tempat hingga akhirnya ghaib tidak diketahui. Wallahu’alam. Saya tidak melakukan penyelidikan mendalam dalam hal ini.
Rasa ingin tahu mendorong saya ke sana ke Karbala’ ketika detik 10 Muharram untuk menyaksikan sendiri apa yang dibaca dan didengar. Memang benar terdapat lautan manusia yang datang dari segenap penjuru. Terutama bila sempadan Iran-Iraq dibuka, penganut syiah dari Iran pun turut sama berpusu-pusu datang. Saya memerhatikan hampir keseluruhan mereka datang sambil menangis dan merintih… “Yaa Hussin…. Ya Hussin… Ya Hussin… Apa dosa kamu diperlakukan begini, wahai cucu Rasulullah…”
Amalan menangis dan meratap ini amat ketara ketika mereka mengelilingi makam Syaidina Hussin (maaf sahabat-sahabat syiah kalau saya istilahkan ‘tawaf’).
Mungkin sebagai tanda kekesalan atas tragedi Karbala' yang telah berlaku, sambil mereka memukul-mukul badan mereka dengan kain dan tangan.
Amalan memukul dan menyakiti tubuh sendiri dengan senjata tajam dan alat-alat lain seperti rantai besi telah diharamkan dizaman pemerintahan Saddam. Alhamdulillah… tak terdapat lagi mereka yang luka berlumuran darah kerana amalan ini.
No comments:
Post a Comment