Monday, July 29, 2013

Syiah 3

Sambungan catatan syiah yang ku kenali siri 3

Selalu kawan-kawan syiah berhujah, “kami lebih benar sebab Islam kami ambik terus daripada guru, kamu ambik daripada murid.” Siapakah guru dan siapa pula murid? Soal saya. “Guru adalah ahlul bait, kami ambik Islam terus dari ahlul bait. Imam-imam mazhab sunni adalah murid kepada ahlul bait, mana yang lebih alim dan benar antara guru dan murid?” Soalnya penuh keyakinan.

Maksud murid dan guru ialah, Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan Imam Ja’far as Sadiq, salah seorang dari Imam 12 yang diakui syiah sebagai imam mereka.

Tetapi siapa yang meneliti secara jujur riwayat hidup Imam Ja’far as Sadiq atau nama sebenarnya Ja’far bin Muhammad bin Ali (k.w), ibunya ialah Fatimah binti al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as Sidiq (r.a) jelas bahawa beliau bukannya syiah sebagaimana yang didakwa. Imam Ja’far adalah cucu kepada Syaidina Ali k.w dan cicit kepada Abu Bakar as Sidiq r.a.

Mereka lebih benar sebab kononnya ajaran mereka adalah berpandukan guru (Ja’far as Sadiq) sementara orang sunni adalah murid (Abu Hanifah).

Sebab itulah beberapa hari sebelum menjelang 10 Muharram setiap tahun, penganut syiah akan berarak dengan berjalan kaki dari satu kawasan penempatan syiah bernama Saddam City, sebuah penempatan masyarakat bawahan yang sangat ketinggalan terletak di pinggir Baghdad menuju ke Karbala’ dengan jarak hampir 200 km. Kenapa berjalan kaki? Sebab kata mereka Syaidina Hussin dulu juga berjalan kaki dari Madinah ke Kufah sampai beliau terbunuh di Karbala’.

Mereka akan melintasi jalan hadapan Masjid Imam Abu Hanifah di mana di dalamnya terdapat makam Abu Hanifah di Bandar Adhamiya berdekatan rumah sewa saya. Bila sampai di hadapan masjid Abu Hanifah mereka akan berhimpun seumpama demonstrasi sambil melaungkan “Celaka atas kamu!! Kamulah murid yang derhaka kepada guru!!”

Jawapan saya kepada dakwaan di atas mudah sahaja. “Apakah kamu sempat berjumpa dengan ahlul bait?” Tentu jawapan yang saya dapat adalah.. “tidak pernah!” “Habis tu macam mana kamu dakwa bahawa kamu ambik ilmu dan agama ini terus dari ahlul bait?”

Melihat kawan saya terlopong kelu, saya menjelaskan, “Sahabatku.. ilmu dan agama ini diwarisi dari Rasulullah s.aw kepada para sahabat. Sahabat pula ada di kalangan ahlul bait dan bukan kalangan ahlul bait termasuk ada yang bukan Arab. Kami orang-orang sunni kasih kepada mereka semua termasuk Syaidina Ali dan Syaidina Hussin serta Syaidatina Fatimah az Zahra’.

Silap besar kalau kamu anggap kami memusuhi dan membenci mereka. Kemudian para sahabat mewariskan ilmu kepada tabi’in seterusnya tabi’ tabi’in seterusnya salafus soleh dan seterusnya… seterusnya…. Sehinggalah sampai kepada kita. Bermakna kita sama-sama tidak mendapat ilmu secara direct terus dari Rasulullah atau ahlul bait.” “Jadi kalau kamu mendakwa lebih benar sebab kamu mendapat ilmu terus dari guru dan bukannya murid, maka jelas dakwaan kamu palsu!”

No comments: