Monday, February 10, 2014

Disiplin Pelajar 1

PENGENALAN 

Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala sosial, “  Buli gugat semangat belajar ” dan “ Kerjasama penting bagi banteras gangsterisme”.  Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada  akhbar-akhbar tempatan pada masa kini.  Berita-berita seperti ini membayangkan  kemerosotan  disiplin pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang  amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata. 

Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam  negara dan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan negara untuk mencapai Wawasan 2020. Pembangunan negara yang pesat dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah.  Keruntuhan akhlak dan nilai-nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara. 

Masalah disiplin di sekolah  kini telah menjadi lebih  kompleks dengan kewujudan kes pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali ‘Black Metal’. Hakikatnya jelas dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-kes disiplin seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh pelajar-pelajar.  
 
PONTENG SEKOLAH
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius bagai “ cendawan tumbuh selepas hujan ” walaupun berbagai-bagai langkah telah dilaksanakan bagi menangani masalah ini. 
Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah  keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah disiplin di kalangan pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi).  Jadi tidak hairanlah jika anak-anak memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap lebih rapat dengan mereka.  
  
 
KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH 
Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap didefinisikan sebagai “Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan jenayah”. 
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal. Mengulas perkara tersebut beliau berkata;  
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar umbi."  (Utusan Malaysia 20 Feb 97) 

Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor.  
 Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah: 
 
Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi tradisional.  
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan.  
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan. Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan.  
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas.  
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan Lunghofer (1993) iaitu:  
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka.  
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging”, dikagumi dan kekuasaan. 
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti.  
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai.  
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan.  
  
 

KESAN 
Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993).  
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya kegiatan salah laku di sekolah.  

Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-pelajar mereka.  
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah ialah:  
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya.  
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka.  
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam.  
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.  
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit. 

Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati. Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh. 
 
CADANGAN 
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah ini. 
2.    Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah. Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru, bertumbuk dan sebagainya. 
3.  Perkhidmatan Bimbingan  & Kaunseling – Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar mereka yang terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan sekolah yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang akan membangunkan negara pada masa akan datang.  
4.  Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab seperti ini yang bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur. 
5.    Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun yang paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak dan sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang dihadapi. 
PENUTUP 
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman 60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata.  

Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah amat jauh bezanya.  
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar kewibawaan sekolah.  Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan, menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin sekarang.  
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.

http://tuanmat.tripod.com/pendidikan.html

No comments: