Sunday, December 5, 2010

Hati juga diuji

Berbicara perihal ujian kehidupan sememangnya seakan tiada titik noktahnya, kerana manusia akan sentiasa diuji. Setiap saat kita diuji kerana ujian hidup itu hadir bukan hanya dalam bentuk kesedihan dan kekecewaan, ujian hidup juga datang dalam bentuk kegembiraan dan kesenangan. Percaya atau tidak bahawa kegembiraan dan kesenangan itu juga merupakan sebahagian daripada ujian kehidupan?

Biasanya apabila kita mendapat kegembiraan, kita terlalu gembira sehingga kadang-kadang kita lupa kepada Allah s.w. t yang memberikan nikmat gembira itu kepada kita. Dalam situasi ini, kita sedang diuji sebenarnya, setinggi mana tahap kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. Dan mengapa pula kesenangan hidup juga temasuk dalam sebahagian daripada ujian kehidupan? Lihatlah dunia sekarang, berapa ramai orang-orang kaya bangga membelanjakan harta kekayaan mereka ke arah keduniaan, dan berapa kerat sahaja orang-orang kaya yang membelanjakan harta mereka ke jalan Allah s.w.t? Lihat disitu, kekayaan dan kesenangan hidup sebenarnya menguji sejauh mana kita mampu menggunakan harta pemberian Allah s.w.t itu ke jalan yang Allah redhai.

Seringkali juga kita menganggap kekurangan diri sebagai satu ujian kehidupan. Kita rasa kekurangan diri membantut hajat dan kehendak kita. Kita nak berdakwah, tapi kita tak pandai bercakap supaya orang tersentuh dengan penyampaian kita. Kita nak berdakwah tapi kita tak banyak ilmu. Mungkin kekurangan itu menjadi dugaan saat kita sedang bertatih dalam dunia tarbiyah, namun ia masih ada jalan penyelesaian. Kalau tak pandai bercakap, kita masih boleh usaha dan belajar dari orang yang berpengalaman. Jika kita tidak banyak ilmu untuk menyampaikan, kita sentiasa akan dapat menimba ilmu selagi mampu. Namun kita mungkin sukar menghadapi satu lagi ujian yang mungkin juga sukar mencari jalan untuk menghindari dugaan ini. Dugaan yang bagaimana? Ia adalah ujian hati.

Hati manusia ini milik Allah s.w.t. dan yang pasti hanya Allah s.w.t dan diri kita sahaja yang tahu apa yang terbuku dalam hati. Ali tidak tahu apa yang ada dalam hati Abu. Abu juga tidak dapat tahu apa yang ada dalam hati Ali. Kerana itu ujian hati ini dikatakan paling bahaya. Kerana orang lain tidak lihat dan tidak tahu apa yang ada dalam hati kita dan pastinya tidak ada siapa yang boleh menegur dan menasihati kita akan perihal hati ini. Yang berada dalam dunia tarbiyah juga tidak akan lepas dari ujian hati ini. Malah mungkin hati kita akan lebih kuat teruji bilamana kita berada atas jalan dakwah. Kerana itu Allah s.w.t yang Maha Pengasih, Maha Penyayang telah mengingatkan manusia dalam satu surah dalam kita suci al-Quran,

“ Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sungguh, Dia Maha Penerima Taubat.” [ An-Nasr : 1-3]

Dalam surah ini, manusia telah diingatkan untuk segera bertasbih dan memuji Allah serta memohon ampun kepada Allah setelah beroleh kemenangan. Kerana ujian hati yang akan sering memerangkap manusia setelah mereka beroleh kemenangan. Padahal segala yang kita peroleh sehingga hari ini, hanya datang daripada Allah semata-mata. Jika kita kata kejayaan kita pada hari ini datang kerana usaha kita, kita silap. Kerana Allah s.w.t jua yang memberi keizinan dan keupayan untuk kita berusaha. Dalam erti kata lain, kejayaan kita sememangnya datang dari nikmat Allah s.w.t. Lihat bagaimana Karun yang terpedaya dengan harta kekayaan, diuji dengan ujian hati yang dasyat, diuji dengan perasaan bangga diri sehingga dia menerima balasan yang dasyat di atas dunia.

Berbalik kepada diri kita. Ujian hati ini akan sering datang kepada diri kita. Tambah-tambah lagi diri kita sedang berjuang melakukan kebaikan. Disini hati perlu berfungsi dengan baik supaya penyakit-penyakit hati seperti riak, ujub, takbur mampu kita hindari. Bagaimana harus kita mengawal diri apabila kita beroleh kemanisan dalam dakwah ini.Bilamana ramai yang tertarik dengan penyampaian kita, bilamana ada yang berubah menjadi lebih baik ketika dalam tarbiyah kita, disini hati berfungsi supaya kita tidak merasa dakwah kita telah berjaya. Apabila penyampaian kita dikritik, artikel penulisan kita dikritik, disini hati perlu berfungsi supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa kerana yang menilai usaha kita bukanlah pujian atau kritikan manusia, yang lebih layak menilai hanyalah Allah s.w.t.

Ramai yang mengambil jalan mudah menangkis perasaan ujub, riak dan takbur ini. Tak mahu buat baik takut riak pula nanti. Namun langkah terbaik menangkis perasaan riak bukanlah meninggalkan kebaikan yang dilakukan tetapi teruskan melakukan kebaikan itu sambil istighfar. Sesungguhnya istighfar ini adalah satu bentuk doa memohon keampunan sekiranya terdetik perasaan riak sepanjang melakukan kebaikan, terdetik perasaan riak apabila beroleh kejayaan. Kerana itu, perlunya kita mengiringi kejayaan kita dengan istighfar dan memohon keampunan dari Allah s.w.t. Siapa tahu sepanjang kita melakukan kebaikan itu ada juga kita terlalai dari matlamat sebenar, dan istighfar lah penawar dosa-dosa kelalaian kita.

Jadi, mari sama-sama mengiringi usaha kebaikan kita dengan istighfar kepada Allah s..w.t. Tabahkan hati, teruskan langkah, ikhlaskan niat.:)

No comments: