"Aku bukan orang jahat. Aku tak ada merompak atau bunuh orang. Aku tak ada sebar fitnah buruk tentang orang lain. Aku tak ada minum arak. Aku macam muslim biasa. Berpakaian mengikut kebanyakan orang."
"Tetapi kenapa tiba waktu solat, aku malas sangat nak dirikan solat? Malas sangat. Kadang-kadang tu ada la juga satu waktu dalam sehari, bila saat iman naik sikit kan... Sikit je la. Itu pun acuh tak acuh, macam tak solat pun ye juga rasanya. Sebab tak rasa apa-apa. Lepas tu iman turun balik. Ada terus tak buat juga solat tu. Aku rasa berdosa tapi aku tak mampu berubah. Kenapa dengan aku ni sebenarnya?"
"Aku bukan orang jahat. Aku jenis manusia yang suka sangat bantu orang lain. Kadang-kadang hati aku tersentuh lihat pengemis tepi jalan. Aku tak sanggup tengok jadi aku bersedekah. Aku pun macam muslimah lain. Berpakaian macam perempuan lain kebanyakan tetapi mungkin ada satu, dua, tiga yang tak sempurna. Aku tahu tapi mungkin itu boleh diubah lagi. Tetapi yang paling aku risau, aku susah sangat nak ubah diri yang malas solat. Aku tahu berdosa tapi senang sahaja aku membiarkan waktu solat berlalu tanpa mendirikannya. Kenapa aku jadi macam ni? I...I just don't get it...Please, help me..."
***
Apa hikmahnya solat dikatakan sebagai tiang agama? Kenapa solat sangat penting dan menjadi tiang agama? Sebagai seorang muslim, pastinya anda telah menghafal lumat Rukun Islam yang lima bukan? Ya, kerana solat merangkumi kelima-lima Rukun Islam tersebut.
Bermula dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Bacaan syahadatain (dua kalimah syahadah) dibaca dalam tasyahud akhir yang merupakan salah satu rukun solat. Yang mana jika tiada dilakukan, maka solat tersebut tidak sah. Syahadatain ada dalam solat.
Rukun Islam yang kedua iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam. Solat itu sendiri ada dalam perintah solat yang diwajibkan sepertimana yang terkandung di dalam kitab panduan, Al-Quran. Setiapnya ada waktu yang telah ditetapkan.
Rukun Islam yang ketiga iaitu menunaikan zakat. Zakat membawa makna pembersihan dan penyucian. Pembersihan pada harta yang juga ada padanya hak orang lain dan penyucian terhadap akhlak terutama dari sifat bakhil selain menanam sifat bertolak ansur serta syukur. Hikmah zakat ada dalam solat. Suci daripada hadas kecil dan besar merupakan salah satu syarat sah solat selain memastikan badan, pakaian dan tempat solat suci daripada najis. Solat juga berperanan untuk menyucikan jiwa tatkala sujud menyembah Allah Yang Esa.
Rukun Islam yang keempat iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan. Puasa membawa maksud menahan diri dari lapar dan dahaga. Makan dan minum termasuk antara perkara yang membatalkan solat hatta menelan air liur yang masih lagi terasa manisnya. Puasa mengajar supaya menahan diri daripada percakapan yang buruk atau sia-sia. Berkata-kata dengan sengaja selain daripada Al-Quran, zikir atau doa walaupun satu huruf membatalkan solat. Hikmah puasa ada dalam solat.
Dan yang terakhir, ialah mengerjakan haji. Tawaf ditunaikan dengan mengelilingi kaabah yang merupakan kiblat umat Islam sebanyak tujuh kali. Menghadap kiblat antara syarat sah solat. Demikianlah Hikmah haji juga ada dalam solat.
Subhanallah!
No comments:
Post a Comment