Saturday, March 19, 2011

ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?

Salam sejahtera razali,
Semalam, semasa duk baca email, terjumpa satu email dari dari salah seorang
sahabat kita ZALIFAH BT ABDUL RAHMAN yang saya dapati
email tersebut boleh memberikan pengajaran kepada kita sedikit sebanyak.
Jadi saya kongsikan email tersebut kepada anda.


ORANG IKHLAS ITU TERTINDAS?
Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas
walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.
Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu
saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.


Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini, kata seorang
kakak berterus-terang. Mengapa? balas saya.Organisasi ini dipenuhi oleh kaki
bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah
dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka.
Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.


Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh
tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia
mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan
yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya
sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ.
Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan
gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?


Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya,
kakak punya berapa orang anak? Sengaja saya bertanya soal-soal di luar kotak
agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
Oh ramai encik Bagaimana dengan anak-anak kakak?


Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya.
Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada
yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya
telah menjadi hafiz. Kakak, boleh saya bertanya?
Tanyalah encik ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu.
Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua
anak-anaknya menjadi.


Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang menjadi dengan naik gaji,
mana yang kakak pilih? Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, antara
kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?


Dengan cepat kakak itu menjawab, hati ibu encik tentulah saya pilih anak-anak
saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta
kita yang paling berharga!


Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini
telah mendapat ganjaran kata saya perlahan. Hampir berbisik.
Maksud encik?
Tuhan telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai.
Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Tuhan berikan kepada kakak
anak-anak yang menjadi.
Tidak pernah saya terfikir begitu encik


Tuhan Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan
rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back.
Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat
akan kembali kepada kita. Yakinlah.Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu
pihak yang kita berikan kebaikan itu?
Maksud kakak?


Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Tuhan
berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Tuhan bukan di tempat saya bekerja,
sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?
Itulah yang saya katakan tadi, takdir Tuhan kekadang terlalu misteri. Tetapi
ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas
dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!


Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang
berlaku dalam organisasi dengan familinya.Metafora atau analoginya begini.
Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong.
Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi
isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial
memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk
di hadapan kita


Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak
itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan
begitu teliti.Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian
atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong.
Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya
logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi
laluan untuk kita?


Kakak itu tersenyum dan berkata, tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi
entah ke mana perginya.
Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?
Pasti ada! Insya-Allah.
Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong.
Tetapi Tuhanlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan
kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk
membalas kebaikan kita Tetapi Tuhan menggerakkan hati orang lain, yang
tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.


Subhanallah!
Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan
manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas
kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya.
Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.
Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan? tanya kakak
itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.


Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Tuhan Maha Kaya dan
Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka
tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang
yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun
semula kepada pembalingnya!
Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.
Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi,
Tuhan Maha kaya, Tuhan mahu dan mampu membalas keikhlasan
hamba-Nya di dunia lagi.


Maksud encik?
Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup.
Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia.
Dan paling penting hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang
lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.
Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji?
Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik
dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!


Giliran saya pula tersenyum.
Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah,
kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja pangkat yang mereka dapat
akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun.
Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back Golden rule itu
bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita
berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu,
mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas
dengan isteri yang berpura-pura! terang saya panjang lebar.


Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal
tidak beberapa bulan lagi ni?
Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Tuhan
Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our ceo, kata orang sekarang.
Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Tuhan
tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan
hanya kerana tidak dapat penghargaan
Maksud encik?


Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.
Kenapa?
Kita akan sakit jiwa!
Kenapa?
Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada
Tuhan yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih,
apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali
daripada manusia yang bersyukur, balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Kitab.


Tetapi Tuhan tidak berhenti memberi kata kakak itu perlahan.
Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang
derhaka, tetapi Tuhan terus memberi Justeru siapa kita yang tergamak berhenti
memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?
Ah, kita terlalu ego

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar
impaknya dalam hidup saya. Saya terasa diperingatkan semasa memberi peringatan
kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh
satu pertanyaan orang ikhlas tertindas?



Wassalam....

Tuesday, March 1, 2011

Saman Ekor

Saman ekor: Ketahui hak anda

Zulhazmi Shariff
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31104:saman-ekor-ketahui-hak-anda&catid=96:fokus-khas&Itemid=134

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)